Al-Quran bentuk akhlak terpuji

AL-QURAN terbukti boleh mengubah sifat dan akhlak manusia daripada
keji kepada terpuji apabila seseorang itu mengikuti ajaran kitab suci
ini sepenuh hati.

Malah, Saiditina Aisyah mengakui Rasulullah s.a.w mempunyai akhlak sebagaimana al-Quran.

Justeru, bagi merealisasikan pembelajaran kalam Allah ini
supaya turut dikuasai dan dihayati generasi muda, Majlis Khatam
al-Quran Peringkat Sekolah Rendah Negeri Perak anjuran Jabatan
Pelajaran Perak, diadakan di Grik, Perak baru-baru ini.

Program
bertemakan ‘Al-Quran Dijunjung, Umat Disanjung’ dirasmikan Pengerusi
Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri,
Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Ia disertai 600 murid sekolah
seluruh Perak termasuk 20 murid tahun dua dan tahun tiga di bawah
Program Jawi, Quran, Arab dan Fardu ain (J-Qaf).

Turut hadir
Pengarah Pelajaran Perak, Husin Harun, Timbalan Pegawai Pelajaran
Daerah (PPD) Hulu Perak, Rosli Ibrahim dan Penyelia Agama PPD Hulu
Perak, Kamarudin Abdul Salim.

Dr Zambry berkata, fenomena
keruntuhan akhlak masa kini menjadi barah menakutkan dan jika tidak
dibendung secara bijaksana, ia boleh meruntuhkan bangsa dan negara.

“Pelbagai bentuk kemungkaran yang dulunya begitu asing kepada kita
seperti perlakuan seks bebas, dadah serta ketagihan pil khayal,
penipuan, lumba haram malah pembunuhan kini semakin banyak berlaku.

“Pemikiran dan perasaan masyarakat Islam di negara kita kini semakin
dihimpit dengan pelbagai krisis yang mencemarkan kesucian agama.

“Ini berpunca daripada sikap umat Islam yang mengabaikan perintah Allah,” katanya.

Seorang peserta khatam, Wan Muhammad Idzham Mohd Omar, 12, dari SK Haji
Mahmud, Chemor, berkata program itu memberi semangat kepadanya untuk
membaca al-Quran berterusan setiap hari.

“Program seperti ini
patut diadakan bukan saja di peringkat negeri tetapi juga daerah dan
sekolah kerana memberi semangat kepada murid membaca al-Quran,” katanya.

Afiqah Ramatullah Khan, 12, dari SK Raja Perempuan, Ipoh berkata,
kewajipan belajar dan menghayati al-Quran tidak kira lelaki atau
perempuan kerana ia menjadi fardu ain ke atas setiap Muslim yang
mukallaf.

“Gejala sosial dalam masyarakat kerana mereka tidak
memahami isi al-Quran,” katanya yang empat kali khatam al-Quran dan
menjadi Naib Johan Hafazan Peringkat Kebangsaan tahun lalu.

Bagi Ahmad Saeidussakhi Ahmad Fadzli, 9, dari SK Seri Adika Raja, Grik
ibu bapa sepatutnya memulakan mengajar anak mengenal al-Quran kerana
mereka lebih rapat dan ada banyak masa bersama.

Popularity: 1%

Related posts:

  1. ABDULLAH LANCAR LAMAN WEB e-FATWA
  2. Buat Duit Dengan Blog
  3. Menghindari Jenayah Seksual
  4. Jangan Membujang
  5. Pengorbanan agung

No comments yet.

Leave a Comment