Jangan Membujang
View PDF | Print View
by: ikram84
Total views: 38
Word Count: 581
Manusia sebagai pentadbir atau khalifah yang bertanggungjawab
memakmurkan bumi ini perlu mengembangkan keturunan, justeru mereka
dikurniakan kecenderungan berkahwin dan beranak-pinak.
Hidup
berpasangan melalui perkahwinan bukan menjadi amalan bagi sesetengah
masyarakat tetapi semuanya menerima pakai sistem itu tanpa mengira
pangkat, suku kaum dan agama. Cuma yang membezakan adalah caranya.
Tetapi dalam dunia siber hari ini, ada lebih selesa hidup
bersendirian sama ada lelaki atau perempuan tanpa mahu memikirkan soal
perkahwinan.
Bagi golongan ini, gaya hidup bujang lebih selesa
dan menjamin masa depan. Mereka bebas bergerak, tiada halangan ke
mana-mana dan terlepas daripada tanggungjawab sebagai suami atau
isteri.
Bagi sesetengah perempuan, perkahwinan dikatakan
mendatangkan kesusahan apatah lagi memikirkan jika mendapat suami yang
panas baran, kaki judi, pemabuk atau penagih dadah.
Cerita
negatif yang didengar dan disaksikan melalui filem dan drama
menyebabkan mereka lebih suka gaya hidup bujang, malah ada yang tidak
berminat mendapatkan pasangan hidup. Tetapi apa kata Islam?
“Pada dasarnya Islam mahu umatnya berkahwin. Walaupun perintah kahwin
yang diturunkan Allah asalnya harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi
wajib dan sunat.
“Malah, ia juga boleh menjadi makruh dan haram ,” kata penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar.
Menurutnya, agama menghukumkan wajib berkahwin sama ada lelaki atau
perempuan apabila seseorang itu tidak mampu mengawal diri daripada
fitnah berpunca dari mata, hati dan nafsu syahwat.
Hukum sunat
kepada individu yang masih dapat mengawal diri, manakala makruh adalah
ke atas mereka yang belum bersedia menghadapi gerbang perkahwinan.
Keharusan berkahwin boleh menjadi haram jika individu terbabit
menghidap penyakit tertentu seperti HIV dan siflis, kerana memberi
risiko kepada zuriat dan isteri.
Mohd Rani berkata, mereka yang
tergolong wajib atau sunat berkahwin perlu menyegerakan perkahwinan
kerana jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan timbulnya
kemungkaran dan berdosa.
“Jika jatuh hukum wajib atau sunat
kena berkahwinlah. Tidak berkahwin akan menyebabkan dosa kerana
walaupun tidak berzina tetapi mata yang tidak boleh dikawal sudah
mendapat dosa,” katanya.
Beliau berkata, apabila seseorang itu
boleh hidup berdikari, tamat persekolahan dan tahu memikul
tanggungjawab, mereka patut berumah tangga.
Tetapi, bagi mereka yang masih belajar di kolej atau institusi pengajian tinggi, tumpukan perhatian kepada ilmu.
“Masalah sekarang, sesetengah orang berfikir perkahwinan itu
menyusahkan dan satu masalah. Bagi golongan ini, mereka tidak yakin
dengan rezeki daripada Allah.
“Zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu
pun ada yang tidak mahu berkahwin kerana mahu memberikan tumpuan kepada
ibadat tetapi, Nabi melarang dan mengatakan kepada orang terbabit,“aku
beribadat dan aku juga berkahwin”.
“Nabi menggalakkan umatnya berkahwin kerana dapat mengembangkan zuriat, malah baginda akan berbangga dengan umat yang ramai.
“Berkahwin bukan alasan menjadi susah sebaliknya rezeki lebih murah.
“Banyak contoh orang lama yang berjaya hidup mereka walaupun peringkat
awalnya susah. Jika tidak berkahwin lagi menyusahkan, bermacam-macam
akibat di depan,” katanya.
Menurutnya, Islam agama terbaik,
tiada halangan dalam soal perkahwinan seperti sesetengah ideologi lain
yang melarang penganutnya berkahwin.
Justeru, beliau
menasihatkan orang Islam khususnya muda-mudi memanfaatkan kelapangan
dan keistimewaan yang diberikan di dalam Islam ini.
Banyak
kebaikan diperoleh melalui perkahwinan. Selain mengembangkan keturunan,
memelihara kesucian diri, memelihara pandangan dan kemaluan, paling
penting memberikan ketenangan, kelapangan dan hidup dihiasi kemesraan.
Ini sebagaimana dijelaskan dalam ayat 189, surah al-A'raf, bermaksud:
“Dialah yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia
mengadakan daripadanya pasangannya (isteri) untuk bersenang hati dan
hidup mesra. Ketika dicampuri isterinya, mengandunglah ia dengan
kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu
waktu). Maka ketika ia rasa berat berdoalah kedua-duanya kepada Tuhan:
Sesungguhnya jika Engkau kurniakan kami anak yang baik, tentulah kami
menjadi dari orang yang bersyukur.”
About the Author
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
Rating: Not yet rated
