Manfaatkan Filem
View PDF | Print View
by: Admin
Total views: 19
Word Count: 973
APABILA Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders menghasilkan filem pendek berjudul Fitna, umat Islam seluruh dunia tersentak, masing-masing marah dan mengamuk kerana perbuatannya menghina Islam.
Umat Islam di seluruh dunia mengadakan demonstrasi, membawa sepanduk dan mengutuk pembikinan karya terbabit. Kemarahan juga menyebabkan gesaan supaya produk keluaran Belanda di negara Islam diboikot. Umat Islam memang berhak marah dengan tindakan pihak tertentu menghina Islam termasuk Nabi Muhammad s.a.w kerana Baginda adalah pesuruh Allah. Tetapi sejauh mana tindakan umat Islam itu memberikan kesan kepada ahli Parlimen terbabit dan negaranya?
Apa yang berlaku selepas berdemonstrasi, semangat umat Islam seperti hangat-hangat tahi ayam. Mereka kembali berpeluk tubuh dan melupakan agenda jahat bukan Islam. Mereka terus dengan angan-angan, sehingga satu pun tidak terlaksana, sedangkan bukan Islam terus berusaha menjatuhkan orang Islam. Justeru, apa tindakan umat Islam bagi menghadapi keadaan bukan Islam yang terus menghentam dan menghina Islam, apakah cukup dengan berdemonstrasi atau membawa sepanduk? Filem sebagaimana diketahui umum adalah satu bentuk hiburan yang menjadi satu keperluan semula jadi manusia. Oleh itu, tanpa mengira usia, keturunan dan kedudukan, semuanya tidak terkecuali mempunyai keinginan untuk menonton filem.
Dalam bentuk hiburan itu ia mampu mencorakkan nilai positif terhadap moral individu atau sebaliknya, malah pada satu aspek lain, ia boleh menjadi alat propaganda untuk mengagung-agungkan sesuatu bangsa atau menjatuhkannya. Jika saluran media lain seperti Internet, blog, majalah dan akhbar mempunyai pengaruh yang cukup kuat, filem juga tidak terkecuali. Justeru, orang Barat bersungguh-sungguh dan melaburkan jutaan ringgit untuk menghasilkan filem dengan memperkenalkan anugerah berprestij supaya dunia mengaguminya. Mengapa tidak umat Islam juga memanfaatkan filem sebagai medium berdakwah untuk menyampaikan kebaikan, keluhuran budaya Timur dan pemupukan nilai murni.
Usaha itu bukan saja dapat mengisi lompong dalam industri perfileman, malah mewujudkan keseimbangan di antara filem Barat yang hampir keseluruhannya menampilkan nilai tidak baik. Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Salasiah Hanin Hamjah, berkata memang benar filem sebagai media pandang dengar sangat memberikan kesan kepada masyarakat.
“Masyarakat mudah terima, menyerap masuk apa yang dilihat dalam filem.
“Sudah sepatutnya umat Islam memanfaatkan saluran itu sebagai medium untuk berdakwah, kerana kesannya lebih kuat berbanding dakwah melalui ceramah.
“Dalam filem kita pun ada mesej dakwah dan nilai positif yang cuba diterapkan walaupun tidak sepenuhnya dan kurang memberikan perhatian kepada batas syarak,” katanya.
Beliau mengingatkan masyarakat Islam supaya menapis filem yang mahu ditontoni bagi mengelak terpengaruh dengan budaya liar menerusi filem terbabit.
“Pada zaman serba canggih ini ada filem berunsurkan tahyul dan pontianak yang boleh merosakkan akidah kepada mereka yang menontonnya,” katanya.
Sudah tiba masanya untuk pengamal media khususnya pembikin filem melakukan anjakan, terutama bagi tujuan dakwah, bertunjangkan kebenaran, bukannya khayalan semata-mata dan mempamerkan nilai kemanusiaan yang wajar dicontohi dalam kehidupan. Akta Kebudayaan Kebangsaan digagaskan pada 1971 menegaskan agar semua sentiasa mendokong tiga unsur utama iaitu kebudayaan asal rantau ini, kebudayaan lain yang wajar dan Islam sebagai unsur terpenting. Filem berunsur Islam sepatutnya diperbanyakkan dan ia tidak semestinya terbatas kepada watak berkopiah atau berserban sahaja.
Bagi penggiat filem, Mansor Puteh, orang Islam patut bersatu menghasilkan filem bercorak keislaman, yang mempamerkan nilai murni dan budaya ketimuran.
“Hari ini kita hanya terima filem Hollywood yang tidak ada kepentingan langsung. Filem tempatan pula mempunyai mesej yang kosong, melekakan dan tiada ilmu.
“Kita mahu aktiviti lakonan filem itu membawa kepada aktiviti sosial yang baik. Buka baju di depan khalayak ramai, itu bukan cara kita.
“Acara seperti ratu cantik itu aktiviti melekakan orang Barat kita tiru. Kita sepatutnya ada aktiviti dalam konteks tersendiri.
“Kita hendakkan filem orang tempatan. Apabila bercakap mengenai tempatan ia berkaitan tanah air kita dan tanah kita adalah Islam, kerana di kampung saya orang Islam, maksudnya Islam, kita hendak kepada nilai moral yang sopan, bukan dalam skop yang kecil, tetapi melihat secara luas.
“Falsafah dalam filem ada menyebut jangan tengok kalau ada filem hantu, filem perempuan separuh bogel, kerana kalau tengok kita menghidupkan hantu, sama juga wanita separuh bogel ia adalah pengaruh iblis,” katanya.
Filem berunsurkan dakwah Islam adalah lanjutan pemikiran ulama dalam menyebarkan Islam kepada masyarakat, tetapi sayangnya mutakhir ini ia kurang mendapat sambutan, kerana bagi pembikin filem mereka melihat kepada faktor keuntungan manakala penonton mahukan keseronokan.
Mansor berkata, walaupun pada peringkat awal sukar untuk mewujudkan filem bercorak keislaman, suatu hari kelak ia akan mendapat perhatian.
“Kita lihat perbankan Islam, kalau dulu tidak menonjol, malah ada satu bank di Mesir dulu yang mengamalkan sistem Islam tidak menguar-uarkannya, tetapi sekarang semua orang mahu kepada sistem Islam,” katanya.
“Saya mengakui bukan mudah mewujudkan industri filem Islam tetapi jika kita mahu menandingi filem dari Barat, usaha ke arah itu perlu dilakukan.
“Dalam dunia Islam selama ini tidak ada pusat perfileman, bahkan pusat ekonomi dan kebudayaan Islam juga tiada.
“Kalau mahu katakan di Iran, mereka hanya membuat filem untuk tontonan sendiri,” katanya.
Filem, katanya bukan sekadar hiburan, malah dapat mengukuhkan ekonomi, menyatukan umat dan merubah pemikiran masyarakat.
>>INFO
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu)..” (al-Baqarah:120)
Pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai hukum menonton filem di panggung wayang
“Tidak syak lagi panggung wayang adalah satu alat dari alat pengarahan dan hiburan.
“Aktiviti setiap alat ini dilihat sama ada digunakan untuk kebaikan atau keburukan.”
Beliau berpendapat ia adalah baik, tetapi memerlukan syarat yang dinyatakan ini wujud, iaitu tajuk dan isinya tidak bertentangan dengan aqidah, akhlak dan syariah Islam, malah tiada unsur seks, tidak mengajak kepada jenayah dan ajaran sesat.
“Menonton wayang tidak menghalang seseorang itu melakukan perkara wajib, seperti solat lima waktu. Tidak boleh seseorang itu meninggalkan solat wajib, contohnya Maghrib semata-mata untuk menonton wayang. Al-Quran memberi amaran keras kepada sesiapa yang berpaling daripada mengingati Allah.
“Elakkan daripada bergaul di antara lelaki dan perempuan ajnabi (orang luar), elak dari fitnah dan juga syubhat, lebih-lebih lagi menonton dalam keadaan gelap.” -
About the Author
Oleh idris musa.
Salah seorang penulis Harian Metro
Rating: Not yet rated
