Sejarah pengorbanan mulia itu tidak tertinggal dalam lipatan sejarah, malah ia dihayati sepanjang zaman.
“Maka, apabila anaknya ini sampai (ke peringkat umur yang membolehkan
dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata, wahai anak
kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan
menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”
“Anaknya menjawab, wahai ayah, jalankanlah apa yang
diperintahkan kepadamu. Insya-Allah ayah akan mendapatiku daripada
orang-orang yang bersabar. Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat
(menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya
dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (kami sifatkan
Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah
kami), serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim, engkau telah
menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah
sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan
kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan
Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang sebenar.”
(as-Shaafat: 102-107)
Melakukan ibadat korban dalam Islam menurut ulama muktabar terbahagi kepada beberapa hukum.
Bagi Imam Abu Hanifah, ia wajib, manakala yang lain mengatakan sunat
muakkad (iaitu ibadat sunat yang sangat digalakkan atau dituntut
melakukannya).
Rasulullah s.a.w dalam hadis diriwayatkan Ibnu Majah daripada A’isyah r.a. bersabda, maksudnya:
“Tiada suatu bentuk ibadat yang dilakukan manusia pada hari raya korban
yang lebih baik dan dicintai Allah daripada menyembelih haiwan korban.
Sesungguhnya haiwan korban yang telah dipotong kelak pada hari kiamat
akan datang lengkap dengan tanduk, kuku dan rambutnya. Dan sesungguhnya
darah haiwan korban telah diterima Allah s.w.t sebelum mengalir ke
tanah.”
Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata ibadat
korban dilakukan pada Aidiladha dan tiga hari seterusnya iaitu pada 11,
12 dan 13 Zulhijjah.
Selepas tarikh itu, penyembelihan tidak diiktiraf ibadat korban.
“Masa untuk melakukan korban ialah selepas solat sunat Aidiladha hingga sebelum matahari jatuh (Maghrib) pada 13 Zulhijjah.
“Sesiapa yang menyembelih binatang sebelum atau selepas tempoh ini
tidak dinilai penyembelihannya sebagai ibadat korban, malah ia
sembelihan biasa,” katanya.
Rasulullah s.a.w dalam hadis
diriwayatkan Imam Muslim dari sahabat, Barra’ ibn Azib, maksudnya:
“Pada Aidiladha, yang pertama kami lakukan ialah melaksanakan solat
Aidiladha, kemudian pulang ke rumah (untuk makan pagi). Sesudah itu
baru menyembelih haiwan korban. Sesiapa melaksanakan seperti itu maka
telah sesuai dengan sunnah kami. Dan, sesiapa menyembelih haiwan korban
sebelum solat Aidiladha, maka tidak disebut ibadat korban melainkan
hanya sedekah daging biasa yang diserahkan kepada keluarganya.”
Penyembelihan korban boleh dilakukan terhadap haiwan ternak seperti lembu, unta, kambing dan biri-biri.
Bagi lembu dan unta, boleh dikongsi tujuh orang, manakala kambing atau biri-biri seekor setiap orang.
“Jika mahu berkorban lembu untuk dirinya, ia lebih afdal. Boleh juga seekor lembu dikongsi suami isteri.
“Cuma, jika syariat menetapkan seekor lembu dikongsi tujuh orang, ia
tidak boleh menjadikan lapan orang untuk satu bahagian,” katanya.
Bekas Imam Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, Kuala Lumpur itu berkata,
penyembelihan binatang korban suatu ibadat dan tidak sepatutnya
dicampur aduk dengan perkara lain.
Menurutnya, umat Islam yang
melakukan ibadat korban dilarang menunjuk-nunjuk kononnya dia banyak
harta sehingga boleh timbul riak atau sombong.
“Tindakan
menunjuk-nunjuk adalah riya’ dan dimurkai Allah. Orang yang berkorban
perlu tanam dalam diri keikhlasan mencari keredaan Allah,” katanya.
Beliau berkata, selain melaksanakan hukum Allah, ibadat korban membantu golongan fakir miskin.
Katanya, jika melakukan korban tetapi tidak mengagihkan daging korban
kepada orang lain sebaliknya menyimpan untuk diri sendiri, matlamat
ibadat korban dianggap gagal.
“Justeru, satu pertiga daripada
daging korban diagihkan kepada fakir miskin (dalam keadaan mentah)
manakala bakinya boleh dinikmati sesiapa saja, termasuk diri sendiri
dengan syarat korban itu bukan korban nazar.
“Jika korban
nazar, seseorang itu tidak boleh menikmati bahagian korbannya tetapi
boleh menerima pemberian daripada bahagian orang lain.
“Namun, lebih warak (baik) tidak mengambil sedikitpun daripada daging korban itu walaupun daripada bahagian orang lain.
“Boleh juga daging korban dimasak, kemudian dijemput orang ramai
menikmatinya. Cuma, seseorang itu tidak mendapat pahala sunat sedekah
secara mentah,” katanya.
Mohd Rani yang mempunyai pengalaman
luas mengendalikan penyembelihan korban, berkata bukan satu kesalahan
melakukan ibadat korban melalui wakil, dengan membayar sejumlah wang
mengikut harga tertentu kemudian menyembelih di tempat tertentu tanpa
dia hadir.
“Kaedah itu tidak menjadi kesalahan malah apabila
niat untuk berkorban dan seseorang itu mengeluarkan duit, ia memadai
dan mendapat pahala korban.
“Hanya dalam mazhab Syafie, seseorang itu perlu niat ketika darah binatang yang disembelih menitis.
“Dalam mazhab lain perkara ini lebih luas. Apabila sudah diberikan wang, sudah dikira niat.
“Kita jangan terlalu berfikiran sempit dalam mazhab kerana Islam adalah agama yang luas, bukan jumud,” katanya.
Popularity: 1%
Related posts:
