Umar Cik Ahmad - Tuan Guru Besut Terengganu
View PDF | Print View
by: ikram84
Total views: 72
Word Count: 1316
Nama lengkapnya Haji Umar bin Cik Ahmad bin Cik Wan Abdul Lathif bin
Cik Wan Cik bin Cik Wan Jat bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Jenal bin
Cik Hamat bin Cik Wan. Beliau berasal dari Patani dan dilahirkan di
Besut pada tahun 1295 Hijrah/1878 Masihi, lebih muda sedikit daripada
Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (1293
Hijrah/1876 Masihi - 1375 Hijrah/1956 Masihi), yang telah dikisahkan
dalam Ruangan agama, Utusan Malaysia sebelum ini. Beliau meninggal
dunia di Kampung Raja, Besut, pada hari Selasa pukul 2.30 petang, 5
Zulhijjah 1360 Hijrah/23 Disember 1941 Masihi.
Pada namanya
terdapat istilah `Cik Wan' atau dulunya ditulis dengan `Che' Wan' yang
merupakan satu istilah keturunan bangsawan Patani yang berhak
memerintah negeri. Istilah `Cik Wan' adalah berbeza dengan istilah
`Wan' sahaja, walau pun sebenarnya masih termasuk dalam lingkungan satu
kekeluargaan. `Wan' adalah lupus haknya untuk menjadi raja dalam
Patani. Jadi ulama yang diceritakan ini merupakan keturunan raja Patani
yang mempunyai hak untuk memerintah dalam Patani.
Daripada datuk
nenek ulama inilah yang mencetuskan nama `Besut', yang sekarang berada
dalam kerajaan Terengganu. Bermula ceritanya bahawa Cik Wan melarikan
diri belayar menuju ke sebelah Timur melintasi beberapa kuala. Akhirnya
beliau berhenti di sebuah Pulau Ru yang berhadapan sebuah kuala, iaitu
paling penghabisan dalam bahasa Patani disebut `sut', ertinya tidak ada
lagi sesudahnya, maka dinamakanlah kuala itu dengan Kuala Sut, lama
kelamaan berubah menjadi Kuala Besut.
Cik Wan yang berasal dari
Patani meninggal dunia dalam peperangan. Kuburnya dijumpai di Pengkalan
Kubor, Kuala Besut. Kubur tersebut merupakan kubur yang tertua di Kuala
Besut. Demikianlah riwayat ringkas datuk nenek Tuan Guru Haji Umar yang
sekali gus merupakan gambaran awal kerajaan Besut dan ulama-ulama yang
berada di dalamnya.
PENDIDIKAN
Umar memperoleh pendidikan
asas dari lingkungan keluarga sendiri. Pendidikan al-Quran dan
ilmu-ilmu asas yang lain beliau pelajari daripada ayah saudaranya Haji
Ibrahim, adik beradik ayahnya. Ayahnya Haji Ahmad mempunyai sembilan
adik beradik. Haji Ibrahim adalah yang paling alim dalam keluarga
mereka, beliau pula sempat belajar kepada ulama besar Besut yang
terkenal iaitu Syeikh Wan Hasan Besut bin Wan Ishaq al-Fathani. Syeikh
Wan Hasan Besut adalah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari
sini mempunyai silsilah dan sanad pelbagai ilmu Islam yang bersambung
hingga yang lebih atas.
Sebelum Umar melanjutkan pelajaran di
Mekah, beliau terlebih dulu memasuki salah sebuah pengajian pondok di
Kelantan. Ketika di Mekah beliau di bawah bimbingan Tok Kenali, Tok
Bacuk dan Tok Kemuning yang membolehkan beliau mengikuti pelajaran
kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
Oleh sebab Syeikh Ahmad
al-Fathani mengajar orang-orang yang telah memperoleh ilmu yang banyak,
maka Umar belajar kepada guru-guru yang lebih muda atau peringkat murid
Syeikh Ahmad al- Fathani. Oleh itu Umar lebih banyak belajar kepada
Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud), Syeikh Umar
Sumbawa, Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan ramai lagi.
AKTIVITI
Setelah
Umar memperoleh pelbagai bidang ilmu di Mekah, beliau pulang ke Besut.
Dalam tahun 1326 Hijrah/1908 Masihi, beliau membuka pondok pengajian di
Kampung Palembang, iaitu sebuah kampung yang ramai dikunjungi orang
pada zaman itu kerana tempat itu merupakan pelabuhan.
Sistem
pengajian pondok Umar adalah seragam dengan pengajian-pengajian pondok
lainnya, sama ada di Patani mahu pun dengan tempat-tempat lain di
seluruh Semenanjung. Pengetahuan Islam sama ada yang berbahasa
Melayu/Jawi mahu pun bahasa Arab adalah sangat ditekankan dalam pondok
beliau.
Ada pun kitab-kitab Melayu/Jawi yang diajarkan terutama
karangan guru-guru beliau atau karangan guru daripada guru beliau, di
antaranya dalam bidang akidah ialah Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad
al-Fathani, ad-Durruts Tsamin karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani
dan lain-lain. Mengenai fikah pula ialah Wusyahul Afrah, Mathla'ul
Badrain, kedua-duanya karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani
dan lain-lain. Ilmu tasawuf ialah Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus
Shamad al-Falimbani.
Pengajian kitab-kitab Melayu/Jawi selain
diajarkan kepada pelajar-pelajar pondok juga diikuti oleh masyarakat
kampung. Walau bagaimanapun untuk pelajar-pelajar pondok lebih
diutamakan kitab-kitab bahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Arab yang beliau
ajar di pondoknya mulai daripada yang paling rendah hinggalah yang
besar-besar, di antaranya ialah:Fathul Qarib, Fathul Mu'in, I'anatuth
Thalibin. Ketiga-tiganya adalah mengenai fikah. I'anatuth Thalibin
adalah karya Syeikh Abu Bakar Syatha, kitab tersebut ditashhih oleh
Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-dua ulama itu adalah guru beliau.
Kitab-kitab fikah dalam Mazhab Syafie peringkat tinggi juga diajarkan
oleh Umar, kitab-kitab itu ialah Minhajut Thalibin, Fathul Waahhab dan
Mahalli.
Kitab-kitab mengenai bahasa Arab, nahwu dan sharaf
merupakan mata pelajaran yang dianggap wajib. Di antara yang diajarkan
ialah: Matan `Awamil al-Jurjani, Matan al-Ajrumiyah, Mukhtashar Jiddan,
Qathrun Nada, Kaukabud Durriyah dan Tashilu Nailil Amani. Tashilu
Nailil Amani adalah karangan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain
al-Fathani. Daripada kitab-kitab asas ilmu nahwu yang tersebut akan
membolehkan kepada kitab-kitab yang besar-besar yang juga diajarkan
oleh Tuan Guru Haji Umar di pondok pengajiannya.
Umar Besut
selain berkemampuan mengajar kitab-kitab akidah, fikah, nahwu, sharaf
dan lain-lain, beliau juga mengajar kitab-kitab tasawuf. Di antara
kitab tasawuf yang pernah diajarnya ialah Minhajul `Abidin karangan
Imam al-Ghazali. Selain mengajar Minhajul `Abidin yang berbahasa Arab,
beliau juga mengajar Minhajul `Abidin bahasa Melayu terjemahan Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani.
Walaupun ada orang menafikan Tuan
Guru Haji Umar Besut mengamalkan sesuatu Thariqat Shufiyah, namun
menurut keterangan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman (Kampung Raja
Besut), beliau telah menemukan catatan bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut
pernah mentalqinkan Thariqat Sammaniyah. Yang ditalqinkan Thariqat
Sammaniyah itu ialah Haji Cik Man Banggul (Imam Tua Banggul) dan Haji
Sulaiman bin Haji Ibrahim. Haji Sulaiman adalah salah seorang murid Tok
Kenali. Haji Sulaiman adalah ayah saudara kepada Ustaz Muhammad bin
Abdur Rahman yang tersebut. Selain Thariqat Sammaniyah ternyata Tuan
Guru Haji Umar Besut juga mengamalkan Shalawat Dalail al-Khairat. Kitab
Shalawat Dalail al-Khairat pernah diamal oleh tuan guru itu yang
tercatat ijazah daripada gurunya juga ada dalam simpanan Ustaz Muhammad
bin Abdur Rahman. Dalam catatan pula bahawa setiap malam Jumaat Tuan
Guru Haji Umar Besut mengadakan halaqah zikir yang dimulakan dengan
bacaan Al-Asma' Al-Husna. Daripada keterangan yang tersebut, tidak
diragui bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut adalah juga mengamalkan
sesuatu Thariqah Shufiyah seperti ulama-ulama yang lain juga.
Selain
yang tersebut di atas dalam peristiwa khilafiyah yang dibangkitkan oleh
Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut bernama Tuan Guru Haji
Muhammad bin Husein Besut dan Tuan Guru Haji Umar Besut termasuk dalam
barisan ulama yang tidak sependapat dengan Mufti Haji Wan Musa Kelantan
itu. Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut telah menyanggah pendapat
Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu dalam sebuah tulisannya bertarikh
malam Isnin, 29 Syawal 1334 Hijrah. Sebelum sanggahan itu dikirim
kepada Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut itu telah bermuzakarah
dengan Tuan Guru Haji Umar Besut yang diriwayatkan ini.
KETURUNAN DAN MURID-MURID
Umar
Besut berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan
saudara sepupunya bernama Hajah Khadijah, memperoleh tiga orang anak.
Perkahwinan kedua dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad.
Haji Wan Muhammad ini adalah Mufti Perak Darul Redzuan yang pertama.
Usia Hajah Wan Sa'idah sekarang sudah hampir seratus tahun. Beliau
menetap di Kampung Raja, Besut. Penulis sempat menemubual beliau (8 Mac
2004). Banyak cerita menarik diperoleh daripadanya. Di antaranya
sewaktu beliau ke Mekah yang pertama bersama ayahnya, beliau mengenali
Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Nur al-Fathani. Kedua-dua ulama itu
menurutnya sangat banyak keistimewaannya.
Perkahwinan Umar Besut
dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad memperoleh anak enam
orang. Di antaranya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz. Beliau ini pernah
berkahwin dengan anak Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Nik Mahmud, Perdana
Menteri Paduka Raja Kelantan (tokoh yang pernah diceritakan dalam
Ruangan Agama Utusan Malaysia sebelum ini). Ustaz Haji Abdul Aziz
adalah seorang penulis buku-buku untuk sekolah menengah kerajaan dan
sekolah menengah agama di Kelantan.
Sebagai guru pengajian
pondok yang lain juga, Umar Besut telah menurunkan murid yang ramai
terutama di sekitar Besut atau seluruh Terengganu dan Kelantan.
Murid-murid beliau itu ramai pula yang membuka pondok pengajian di
beberapa tempat. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin
Wan Saleh, Bukit Puteri, Besut, Tuan Guru Haji Abbas bin Muhammad,
Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Lathif bin
Awang, Alor Keladi, Jeretih, Besut, Tuan Guru Haji Muhammad Ali bin
Haji Abdullah, Kampung Nering, Pasir Putih, Tuan Guru Haji Husein bin
Awang Hamat, Pengkalan Pauh, Jeram, Pasir Putih dan ramai lagi.
About the Author
Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Disediakan oleh www.ajakbicara.com
Rating: Not yet rated
