Ilmu warisan Melayu kurang sekali ditemukan dalam bentuk dokumen bertulis. Baik dalam bidang politik, ekonomi, seni, apalagi perubatan dan perawatan kesihatan. Barangkali budaya lisan yang mendominasi kaedah komunikasi bangsa ini telah "mengalpakan" ahli masyarakat, sehingga khazanah berharga yang menjadi pakaian generasi demi generasi terabai tidak didokumentasikan. Melepasi peredaran zaman, pemindahan maklumat dari mulut ke mulut menjadi kaedah yang tidak lagi kompetitif sehingga akhirnya mengakibatkan usaha menyebarkan ilmu tidak sebanding dengan perkembangan masyarakat.
Bangsa Melayu dicengkam oleh penjajah dalam rentang masa yang amat panjang, berkurun-kurun lamanya. Dalam tempoh tersebut, bagi melangsungkan cengkamannya, penjajah secara terancang telah memperlekeh bangsa ini dari segala segi, terutama daya intelek, budaya hidup, hatta sistem nilai. Apa sahaja yang dikaitkan dengan tradisi ditohmah sebagai mundur, kotor, tahayul, memudaratkan, atau apa sahaja yang buruk-buruk, sehingga menimbulkan stigma dalam kalangan generasi terkemudian. Hari ini, stigma itu masih subur oleh keengganan ramai ahli masyarakat yang tidak menyenangi sebarang asosiasi terhadap amalan tradisi.
Ironinya, kitab perawatan dan perubatan bangsa ini memang pernah ditulis ratusan tahun lalu, tetapi terbiar dalam naskhah usang, tidak dikaji secara serius. Kalaupun ada, kajian itu lebih memberati sudut persuratan ataupun antropologi. Ahli sains, khususnya jurusan perubatan atau farmakologi bagaikan tidak terpanggil untuk meneliti kandungan manuskrip tersebut. Demikianlah ilmu ini tersepuk di dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia selain disimpan di perpustakaan negara-negara bekas penjajah tanah air. Dalam hal ini, usaha menerbitkan salah satu naskhah tersebut, iaitu Kitab Tib Melayu, oleh Yayasan Karyawan amatlah dialu-alukan. Moga dengan terbitnya judul ini, para saintis terdorong membuat penelitian, lebih-lebih lagi perubatan herba atau perubatan alternatif semakin beroleh perhatian dan kepercayaan sekarang ini.
Sejajar dengan perkembangan positif di atas, kami dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT, Tuhan yang bagi-Nya segala puji, Tuhan sarwa sekalian alam, berasa amat berbahagia kerana dapat mengambil peranan menerbitkan Ensiklopedia Perbidanan Melayu ini, buat julung-julung kalinya. Moga kehadirannya dalam arus perdana akan merangsang kajian dalam multidisiplin, baik perubatan, kejururawatan, farmakologi, botani, pemakanan, mahupun budaya dan seni.
Popularity: 1%
Related posts:
