Jadikan masjid destinasi pelancongan

Oleh: Ghafani Awang Teh

Menurut laporan Kementerian Pelancongan Malaysia pada tahun tahun 2007 dijangkakan seramai 20.1 juta pelancong tiba di negara kita. Dalam tempoh itu, mereka berbelanja sebanyak RM44.5 bilion. Sebahagian besar pelancong itu adalah dari Eropah, Jepun, Korea Selatan, Singapura, China dan Timur Tengah.

Salah satu produk pelancongan yang berkembang pesat sekarang ialah pelancongan keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat sejarah sesuatu agama.

Banyak negara yang telah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing telah mempromosi secara besar-besaran menjadikan pusat-pusat keagamaan sebagai salah satu destinasi pelancongan. Negara kita pun mengambil langkah yang sama.

Kadangkala usaha menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat Islam. Ia berpunca daripada fahaman bahawa kedatangan pelancong terutama yang bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah itu. Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Menurut pendapat dalam Mazhab Syafie orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan dalam surah a-Taubah, ayat 28.

Kemerduan suara muazin

Bagi masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya di salah satu tiang di dalam sebuah masjid. Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda “lepaskanlah Tsumamah”. Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim”.

Berdasarkan hadis ini, nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk ke dalam masjid itu.

Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid ini, maka pihak pengurusan masjid perlu membuat peraturan yang sesuai. Umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa-masa yang sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadah.

Dari segi aspek pelancongan kita dapati Masjidil Haram Mekah dan Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling popular di dunia. Pada musim haji sahaja kira-kira 3 juta umat Islam mengunjungi Mekah dan Madinah.

Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang tahun 2020 dijangkakan seramai 45.5 juta umat Islam akan mengunjungi dua tempat suci itu setahun dengan anggaran pendapatan sebanyak kira-kira RM76 bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam ini membuka peluang-peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi.

Walaupun masjid dan tempat-tempat sejarah Islam yang ada di negara kita tidak sehebat di Arab Saudi tetapi ia berpotensi besar untuk menarik pelancong terutamanya orang bukan Islam menziarahi masjid dan tempat sejarah Islam yang terdapat di negara kita.

Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah tentang keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazin, peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang.

Bagi umat Islam daya tarikan ini kelihatan perkara biasa tetapi bagi orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan dengan suasana rumah ibadat agama lain.

Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui pelancongan.

Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah-langkah tertentu.

Memakmurkan masjid

Antara langkah utama yang sesuai ialah menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, menyediakan senibina yang menarik, persekitaran yang bersih dan ceria, kemudahan tandas yang selesa, menyediakan risalah mengenai Islam dan fungsi –fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi yang luas kepada masyarakat setempat dan pelancong asing, menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dan menyediakan ruangan pameran serta galeri.

Pada masa ini antara masjid yang berpotensi besar menarik pelancong ialah masjid negeri dan masjid yang terdapat kelebihan tertentu seperti Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapong-Tengku Tengah Zaharah Kuala Terengganu, Masjid Kristal Jerteh Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kg Laut Kelantan dan Masjid Ulu Melaka Melaka.

Bagaimanapun masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah Masjid Negara. Menurut laporan Masjid Negara pada tahun 2007 terdapat seramai 255,800 pelancong asing melawat masjid ini.

Walaupun terdapat kesukaran masjid kecil untuk menarik pelancong asing tetapi tumpuan boleh diberi kepada usaha menarik pelancong tempatan dan dari dalam negara sendiri. Tindakan ini sekurang-kurangnya menyahut seruan mempelbagaikan usaha menyebarkan maklumat mengenai Islam termasuk melalui pelancongan.

Langkah ini adalah selari dengan kempen Kerajaan yang melancarkan Tahun Melawat Malaysia. Dengan demikian adalah menjadi satu kerugian besar jika kita tidak mengambil ikhtiar langsung untuk menjalankan dakwah melalui konsep pelancongan ini.

Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita merenungi peringatan Allah yang bermaksud, Bahawasanya yang memakmurkan masjid ialah orang-orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat hidayah daripada Allah. (at-Taubah: 18)

No comments yet.

Leave a Comment