Port Dickson, Negeri Sembilan memang terkenal di kalangan pelancong di dalam dan luar negara terutama keindahan pantai dan alam semula jadi.
Pantai peranginan itu turut menawarkan pelbagai penginapan dan resort dari tiga kepada lima bintang untuk kemudahan pengunjung.
Bagi memastikan keselesaan pelancong, The Legend Group Of Hotels and Resorts, melancarkan projek pembangunan penginapan eksklusif terbaru, The Hibiscus Garden Chalets, baru-baru ini.
Projek 74 unit chalet taman itu dilaksanakan di The Legend International Water Homes, Tanjung Gemok, Port Dickson membabitkan kos RM45 juta.
Ini projek fasa kedua pembangunan hotel bertaraf lima bintang itu selepas pembinaan 280 unit penginapan The Legend Water Chalets pada 2003.
The Hibiscus Garden Chalets mempunyai konsep berbeza kerana terletak di daratan tetapi dikelilingi keindahan taman. Ia mempunyai hak eksklusif kolam renang persendirian.
Tarikan unik kediamannya ialah reka bentuknya berkonsep ala Bali.
Pembinaan chalet itu membuktikan negara ini mampu menyediakan penginapan bermutu tinggi yang boleh dibanggakan di peringkat dunia.
The Hibiscus Garden Chalets sebelum ini meraih anugerah Asia Pacific Commercial Property Award tajaan Bloomberg Television di Hong Kong.
Malah, The Legend International Water Homes (chalet atas air) meraih CNBC International Property Award bagi pengiktirafan Best Architecture dan Best Development 2007.
The Hibiscus Garden Chalets merangkumi 69 unit satu tingkat berkeluasan 72.9 meter persegi manakala lima unit bahagian tepi berkeluasan 148.6 meter persegi.
Kediaman itu dijual kepada orang ramai pada harga RM550,000 dan RM950,000.
Sehingga kini, sebanyak 45 peratus atau 33 unit chalet dijual kepada pembeli terutama dari luar negara.
Rata-rata pembeli adalah daripada 34 negara yang mempunyai kuasa membeli tinggi termasuk pelabur daripada United Kingdom, Hong Kong, Singapura, Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan dan Australia.
Selain semua negara itu, sasaran pembeli turut merangkumi pelabur dari Macau, China dan negara-negara Teluk.
Projek pembinaan chalet itu dibangunkan syarikat pemaju terkemuka negara, Kuala Lumpur Metro Group (KL Metro) dan dijangka siap Julai 2011. Ia akan dibuka pada Ogos tahun sama.
Majlis perasmian pecah tanah pembinaan chalet ekslusif itu dilancarkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi KL Metro, Datuk Mat Hassan Esa.
Popularity: 1%
Related posts:
