Alhamdu Lillah, akhirnya dapat juga saya menulis artikel baru walaupun banyak kekangan terutamanya dari segi masa. Mungkin inilah yang dikatakan lumrah kehidupan, penuh dengan corak dan warna warni. Mungkin nilai sebuah kejayaan itu sukar untuk kita hargai apabila ianya cukup mudah untuk kita kecapi. Adanya rencah, pahit maung dugaan yang dilalui, disulami dengan usaha yang berterusan, membuahkan hadiah berupa sebuah kejayaan yang manis untuk kita.
Mengapa ya, ramai di antara kita yang begitu mudah berputus asa apabila datangnya suatu musibah atau dugaan? Pada pandangan saya, mungkin kerana kita terlalu menjangkakan segalanya akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan. Jadi apabila tibanya dugaan tersebut, kita mudah hilang arah, hilang punca dan kurangnya motivasi untuk meneruskan apa yang telah kita mulakan…
Dugaan yang datang, adalah kesempitan yang wujud tanpa kita inginkan. Namun begitu, wujud “rahsia” di dalamnya. Pesanan guru saya:
…di sebalik nikmat ada bala, di sebalik bala, ada nikmat…”
Di sebalik kesempitan, wujud satu rahsia untuk anda berjaya. Rahsianya, mencari dan menggunakan segala kesempatan yang ada dalam setiap kesempitan yang kita lalui.
- Gunakan kesempitan kewangan yang anda ada, untuk menguatkan diri anda agar lebih keras berusaha untuk anda perbaiki kedudukan kewangan anda, agar kelak anda berjaya hidup dalam kesenangan dan kebahagiaan.
- Kesempitan masa yang anda alami, untuk anda pelajari cara-cara menguruskan masa dengan lebih teratur dan bijaksana agar suatu hari nanti, anda berjaya menjadi seorang pemimpin yang disegani.
Tidak mungkin bulan turun ke riba. Tiada istilah rezeki yang datang bergolek tanpa kita melakukan apa-apa. Saya pernah diberitahu, bahawa kadangkala TUHAN menguji kita sebagai satu ujian sebelum DIA mengangkat darjat kita. Mungkin juga ujianNYA sebagai satu bentuk latihan sebelum kita dikurniakan nikmat agar kelak nanti kita tidak lali dan leka akan kedudukan kita sebagai makhluk ciptaanNYA.
Semoga anda sentiasa menggunakan segala ruang kesempitan yang ada untuk terus mengejar impian yang anda inginkan!
“Berkongsi dan Ingin Dikongsi”
Popularity: 1%
Related posts:
