Anda pernah dengar sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
…perguna lima perkara sebelum datang lima perkara; masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa beradamu (kaya) sebelum jatuh miskin dan masa hidupmu sebelum mati…
Berkait dengan tajuk artikel pada kali ini, kita sebagai manusia seringkali lupa dan leka akan nikmat yang Tuhan kurniakan. Begitu juga dengan diri saya. Apabila kita dikurniakan sesuatu perkara, sangat jarang kita bersyukur dan benar-benar mengaplikasikannya untuk kebaikan diri dan masyarakat di sekeliling kita…
Sebagai contoh…kehidupan kita sebagai seorang anak. Sewaktu ibu dan bapa kita masih lagi hidup, ada di antara kita yang jarang benar menziarahi mereka. Tidak kurang juga yang langsung tidak ambil peduli akan hidup atau matinya kedua-dua ibu dan bapa mereka.
Akan tetapi, apabila mereka sedar kedua-duanya sudah pergi meninggalkan kita, kita gelabah, resah, bersalah kerana tidak berpeluang untuk berjasa terhadap kedua-duanya sepanjang kehidupan kita di dunia. Sedangkan, kunci utama kejayaan itu terletak pada ibu dan bapa kita. Apabila kita sendiri tidak pernah merasai rupabentuk kunci tersebut, bagaimana mampu untuk kita “membuka” nikmat kejayaan yang sudah pasti, dikurniakan oleh Allah s.w.t?
Sekarang, cuba anda bayangkan, nikmat kesihatan yang Tuhan kurniakan. Cukup kesemua deria dan sempurna anggota badan. Dek kerana dugaan dan nafsu, kita tidak mengamalkan cara hidup yang sihat. Sebagai contoh, kita sedar, merokok itu membahayakan kesihatan (maaf sekiranya contoh ini menyinggung beberapa pihak tertentu) tubuh badan kita, tetapi kita kurang kesedaran untuk cuba mengawalnya/meninggalkan amalan kurang sihat tersebut. Apabila sudah jatuh sakit akibat amalan merokok, barulah kita mula beringat, tetapi sudah terlambat.
Begitu juga dengan nikmat masa, ya, bukan mudah untuk kita menguruskan masa kita dengan teratur, tetapi kita mampu untuk melakukannya sekiranya kena pada cara dan usaha yang kita laburkan. Kebanyakan di antara kita (pelajar, termasuk saya), mula kelam kabut apabila tarikh untuk menghantar kerja yang diberikan oleh pensyarah/guru/cikgu, semakin hampir dan masih banyak yang perlu disiapkan. Nikmat masa yang banyak terluang sebelum ini tidak digunakan sebaik-baiknya.
Peringatan untuk diri saya sendiri dan juga sesiapa yang membaca artikel ini, ingatlah supaya kita menghargai nilai sebuah kurnia oleh Allah s.w.t. Semoga kita sentiasa berusaha untuk menjadi yang lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik berbanding hari ini. Kita manusia, ada nafsu, tetapi kita juga dikurniakan akal supaya kita dapat berfikir akan kebesaran Allah s.w.t.
InsyaALLAH, dengan izinNYA, sekiranya kita mampu menghargai nikmat kurniaanNYA, kejayaan pasti akan kunjung tiba. Berjumpa lagi untuk artikel akan datang~! ![]()
Popularity: 1%
Related posts:
