Ya, memang sukar kalau mahu mempelajarinya secara bersendirian tanpa memerlukan pertolongan daripada orang lain. Perkataan “belajar” tidak memberi apa-apa makna jika kita mengaku, kita boleh belajar secara bersendirian tanpa memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dan berilmu.
Saya berpendapat, tiada manusia di dunia ini yang pernah berjaya dengan hanya belajar bersendirian. Walaupun ada yang mengaku, mereka belajar “bersendirian” dengan merujuk kepada bahan-bahan ilmiah yang mereka perolehi daripada kedai-kedai buku mahupun secara online, tetapi sedarkah anda, ilmu yang terkandung di dalam buku itu juga datangnya dari mereka yang bergelar manusia? Mereka yang bertungkus-lumus menyediakan berbagai-bagai tips dan panduan untuk para pembacanya?
Tetapi AWAS! Belajar dari buku sahaja bukanlah suatu perkara yang elok untuk dilakukan kerana akan timbul berbagai-bagai pandangan yang salah walaupun pada hakikatnya, ilmu yang hendak dikongsikan itu benar-benar boleh diaplikasikan. Bagi mereka yang mudah berputus asa, mungkin mereka akan berhenti separuh jalan tanpa benar-benar memahami ilmu yang hendak dipelajari.
Walau bagaimanapun, belajar sambil dibimbing oleh mereka yang lebih berpengalaman dan berilmu, dapat memberikan berbagai-bagai kesan yang positif kepada diri kita. Antaranya, melalui pembelajaran secara dua hala (antara anda dan mentor anda misalnya), anda dapat memendekkan learning curve kerana apa yang dikongsikan oleh mereka bukanlah suatu perkara yang menyusahkan anda, ianya adalah sesuatu yang menyenangkan, bahkan menguntungkan anda.
Seorang mentor yang baik, sentiasa mahukan yang terbaik untuk protegenya. Mereka tidak mahu anda melalui laluan sukar kerana pada penghujungnya,anda tetap akan ke arah destinasi yang sama. Ya, mereka akan membantu dan membimbing anda agar sentiasa berada dalam hala tuju matlamat anda yang sebenar.
Peranan sebagai seorang anak, pelajar, komitmen terhadap persatuan dan cabaran sebagai usahawan internet bukanlah sesuatu yang pada perkiraan saya, mudah untuk dilakukan secara serentak. Ianya memerlukan pengorbanan, disiplin yang tinggi dan emosi yang stabil untuk terus melaluinya. Salah satu elemen yang menguatkan diri saya untuk terus kekal bermotivasi adalah kerana adanya guru untuk membimbing saya, mengingatkan saya agar tidak berputus asa dan membetulkan haluan yang saya tempuhi agar terus mencapai kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun.
Jasa seorang guru, memang tidak dapat dinilai. Bagi mereka, cukuplah kita menghormati dan menyayangi mereka seperti insan yang biasa. Sekiranya mereka lebih tua berbanding kita, hormatilah mereka sepertimana anda menghormati kedua-dua ibu dan bapa anda. Begitu juga bagi seorang guru yang lebih muda, kita hormati mereka atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Ingat, jangan pula kita lupa untuk mengenang jasa mereka yang telah banyak membantu kita. Melalui konsep begini, barulah usaha kita lebih diberkatiNYA kerana bukan sahaja anda perolehi ilmu yang bermanfaat untuk diri anda, malahan anda dapat memupuk semangat kasih sayang antara sesama manusia.
InsyaALLAH, semoga pengisian di dalam entri kali ini dapat memberikan anda semangat untuk kekal ceria dan cergas untuk meneruskan kehidupan anda seharian! ![]()
Popularity: 1%
Related posts:
