Karyawan seni sokong pinda Akta Hak Cipta
View PDF | Print View
by: Pengumpul
Total views: 20
Word Count: 764
Date: Wed, 5 May 2010 Time: 10:52 PM
0 comments
Usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menangani isu pembayaran royalti, muat turut nada dering dan cetak rompak disambut baik karyawan seni tanah air.
Hampir semua daripada mereka bersetuju dan mengakui sudah sampai masanya Akta Hak Cipta 1987 dipinda supaya dapat mengurangkan penyelewengan dan penindasan membabitkan sumber pendapatan utama mereka.
KPDNKK melalui agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menganjurkan majlis dialog yang turut dihadiri Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama karyawan seni di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, petang kelmarin. Karyawan seni termasuk penyanyi, pelakon, penulis lirik dan pemuzik yang hadir pada majlis dialog itu antaranya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk DJ Dave, Datuk Andre Goh, M Nasir, Aidit Alfian, Johan Nawawi, Habsah Hassan, Mariani, Sheeda, Salwa Abdul Rahman, Samsudin Lamin, Leina Hangat, Dayang Nurfaizah dan juga Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez. Mereka yang hadir memberi pandangan dan cadangan berhubung isu berkenaan. Antaranya, Hattan, DJ Dave, Manan Ngah, Lan A To Z, Fazli Zainal, Bienda dan Ayati Tasrip.
Manan berkata, beberapa aspek yang perlu diambil kira kerajaan mengenai pindaan Akta Hak Cipta antaranya membabitkan industri komersial dan persembahan daripada muzik irama tradisional.
“Kita tidak perlu terikut tuntutan komersial saja, sebaliknya mengambil kira sumbangan persembahan muzik daripada band tradisional dan majlis kecil yang mungkin dieksploitasi segelintir pihak. Kita juga perlu melihat dari sudut implikasi sosial.
“Karyawan seni boleh digelar dalam kelompok bahan mentah yang menyalur serta menghasilkan karya seni dan budaya. Mereka ada tetapi mungkin tidak kekal lama. Tidak semua individu yang mampu dikategorikan dalam kelompok golongan kreatif dalam menghasilkan karya bermutu. “Kerajaan harus lihat keseimbangan dari segi kekuatan karya itu sendiri terutama bagi artis baru. Harus ada pemantauan dari segi budaya dan komersial,” katanya. Bagi penyanyi dan pelakon veteran yang kini bergelar usahawan, ND Lala ketika ditemui pada majlis itu berkata, kerajaan melaksanakan pendekatan positif. Langkah menteri mengambil input terus daripada karyawan seni langkah wajar dengan tidak hanya mengharapkan maklumat daripada pekerjanya untuk menangani setiap isu atau masalah yang berlaku.
“Input yang dikemukakan artis sangat penting. Ini langkah pertama untuk menggubal dasar sedia ada. Selepas ini diteruskan kepada pelaksanaan, seterusnya penguatkuasaan. Ini petanda yang baik kepada artis, namun masih terlalu awal untuk membuat rumusan.
“Semua ini bergantung kepada karyawan seni juga apabila menteri menyebut soal kreativiti. Ia satu perkara yang menyebabkan karyawan seni ketinggalan. Tanpa kreativiti dan penggunaan teknologi semasa, seseorang artis itu kurang berdaya saing. Kreativiti kena selari dengan perkembangan teknologi. Karya seni juga berubah mengikut peredaran zaman,” katanya.
Sementara itu, Dayang Nurfaizah turut menyambut baik tindakan kementerian mendapatkan pandangan dan cadangan daripada artis menerusi penganjuran sesi dialog berkenaan. Tambahnya, secara tidak langsung, pihak kementerian turut mengambil berat masalah atau dilema yang dialami karyawan seni tanah air. Pemuzik bebas, Azlan Alias pula memaklumkan mengenai ketelusan pembayaran yang membabitkan tiga badan iaitu badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP) yang mengutip royalti bagi pihak pencipta lagu dan penulis lirik.
Kemudian Public Performance Malaysia (PPM), anak syarikat milik penuh Persatuan Industri Rakaman Muzik Malaysia (RIM) dengan peranan mengutip royalti bagi pihak syarikat rakaman dan penerbitan produk muzik. Selain Performers & Artistes Rights (Malaysia) Sdn Bhd (Prism) ditubuhkan untuk melindungi, mengutip dan mengagihkan royalti kepada pelaku, biasanya penyanyi dan pemuzik yang membuat persembahan di tempat awam dan stesen TV serta radio.
Penyanyi yang popular dengan lagu Harapan, Fazli Zainal pula berpendapat, penyanyi yang tidak berkebolehan mencipta lagu seharusnya mempunyai sedikit hak daripada pembayaran royalti memandangkan tidak semua penyanyi dibayar dengan harga yang tinggi setiap kali menjayakan persembahan.
Sesi dialog berkenaan turut membincangkan soal pembayaran royalti yang kurang telus dan menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di kalangan segelintir individu. Ada di kalangan artis yang hadir mahu badan yang mengutip hak royalti diseragamkan dan di bawah pemantauan pihak kerajaan. Rumusan daripada dialog berkenaan, Ismail memaklumkan beberapa pindaan akan dibincangkan termasuk peratusan jumlah kutipan membabitkan royalti yang difahamkan tidak relevan buat masa sekarang, penubuhan badan bebas di bawah kementerian untuk memantau, seterusnya mengutip peratus royalti yang ditetapkan. Selain itu, perlu diwujudkan lebih banyak syarikat mengurus soal royalti supaya artis mempunyai lebih banyak pilihan.
Turut dibincangkan mengenai peratusan pengagihan pembayaran nada dering dengan syarikat yang bertanggungjawab. Turut disyorkan agar diwujudkan laman web khas supaya karyawan seni dapat mengikuti maklumat terperinci mengenai kutipan royalti. Malah, pihaknya akan mengkaji mengenai pembayaran royalti membabitkan drama dan filem.
Sebelum ini, kementerian turut mengadakan dialog mengenai pindaan berkenaan bersama wakil industri persatuan, akademik dan dewan perniagaan. Pindaan Akta Hakcipta 1987 dijadual dibentangkan di Parlimen Jun ini.
Sponsored Links: Blog Malaysia Panduan Raja Adsense Mencari Niche Rahsia Penulis Ebook
About the Author
Artikel ini telah di ambil di hmetro.
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
2010/05/05
Latest articles from Pengumpul
1: Nasihat Rasulullah ketika Menyambut Bulan Ramadhan2: Kenali Erti Maruah
3: Kenal 8 denai di Bukit Fraser?
4: Minyak Naik, Gula Naik
5: Millatfacebook vs Facebook
Top Five popular articles about Kesenian dan Hiburan
1: Anugerah Shah Rukh Khan layak atau tidak?2: Reducing Triglyceride Levels in 5 Easy Steps
3: Blog Kartun
4: How to put a free virtual "Cash-Spitting" ATM in your Computer
5: The Benefits of Article Submission



