koleksiartikel.com - Artikel yang menarik untuk anda

Welcome Guest

Search:

Home » Masyarakat-and-budaya » Bersocial melalui laman Webs

Bersocial melalui laman Webs

Avatar:

View PDF | Print View
by: ikram84
Total views: 7
Word Count: 1141

 

“HEI Ahmad! Malam ini ‘add’ aku bila ‘online’?” jerit Imraan.

“Ok, boleh. Aku add kau nanti,” sambut Ahmad.

Dua dialog itu mungkin perkara biasa membabitkan remaja sebaik mereka berpisah apabila pulang dari sekolah atau kelas di institut pengajian tinggi (IPT). Berjumpa secara online kini menjadi wadah rekreasi baru berbanding bergayut di telefon, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau bersembang maya di Yahoo Messenger!

Persoalan yang ada di benak pembaca kini mungkin di mana dan mengapa Ahmad perlu meng‘add’ Imraan? Jawapan untuk kedua-dua soalan itu terjawab sebaik pembaca melayari laman web sosial yang semakin mendapat tempat di hati remaja hatta dewasa sebagai medium komunikasi baru pada era perkomputeran dan Internet masa kini.

Pembaca yang melalui zaman remaja kira-kira 10 tahun lalu mungkin berkumpul di padang bola atau taman permainan apabila waktu persekolahan tamat untuk berjumpa rakan tidak kira apa jua aktiviti dilakukan selepas itu. Situasi sekarang jauh berlainan walaupun padang bola masih menjadi ‘port’ utama tapi ia mendapat saingan hebat daripada Internet yang membentuk jaringan baru bagi remaja berkongsi maklumat atau melepaskan penat di dalam kelas.

Internet melahirkan idea yang membina laman web sosial seperti Facebook, Friendster, MySpace, Bebo atau Hi5. Terdapat juga gerbang kurang popular memungkinkan komuniti digital dibangunkan secara tidak langsung. Ketika zaman e-mel menyemarakkan kehidupan komuniti suatu masa dulu, kumpulan e-mel atau ‘Mailing Group’ adalah ‘setem’ utama untuk berinteraksi dengan kumpulan dalam lingkungan 10 hingga ratusan rakan.

Ada baiknya jika kita melihat serba sedikit sejarah mengenai laman web sosial yang agak meletup di planet ini melalui Internet. Facebook adalah laman web sosial yang membenarkan pengguna untuk berkomunikasi dengan rakan mereka dan saling bertukar maklumat. Ia diasaskan pada 4 Februari 2004 oleh bekas pelajar Sekolah Tinggi Ardsley dan Universiti Harvard pada 2006, Mark Zuckerberg.

Pada asalnya, keahlian hanya dibuka kepada mahasiswa Kolej Harvard namun ia diperluaskan ke sekolah sekitar kawasan Boston yang lain termasuk Kolej Boston, Universiti Boston, Universiti Harvard, Universiti Northeastern, Universiti Tufts, Rochester, Stanford, NYU, Northwestern dan banyak lagi dalam masa dua bulan. Akhirnya, pengguna yang memiliki alamat e-mel universiti (misalnya .edu di bahagian belakang) seluruh dunia layak menyertai Facebook ini.

Rangkaian sosial ini disediakan kepada sesiapa yang mempunyai alamat e-mel dan membolehkan mereka berhubung mengikut lingkungan umur tertentu seperti sekolah menengah, tempat bekerja atau kawasan geografi. Manakala Friendster ditubuhkan di Mountain View, California oleh Jonathan Abrams pada 2002 yang menjadikan laman web sosial itu memiliki lebih 70 juta ahli seluruh dunia dengan memberi tumpuan membantu pengguna terus berhubung bersama rakan.

Sementara itu, MySpace yang beribu pejabat di Beverly Hill, California, Amerika Syarikat adalah lanjutan sebahagian kisah Friendster tapi mempunyai tujuan yang sama.

Bebo adalah singkatan daripada ‘blog early, blog often’ jarang didengar namun ia meningkat naik di negara seperti Filipina dan Poland diasaskan pasangan suami isteri, Michael dan Xochi Birch. Satu lagi laman web sosial cuba meningkat ialah Hi5 dihasilkan Ramu Yalamanchi pada 2003 yang kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) masih cuba menembusi penguasaan Facebook, Friendster atau MySpace dengan pendaftaran lebih satu juta ahli sehingga April 2008.

Perkhidmatan laman web sosial boleh dianggap menumpukan rangkaian sosial untuk satu komuniti yang berkongsi hobi, aktiviti atau kisah peribadi orang lain. Kebanyakan laman web sosial berasaskan Web 2.0 menawarkan pelbagai cara interaksi antara pengguna, seperti perbualan dalam talian, bertukar pesanan, e-mel, video, perbualan suara, perkongsian fail, blog, kumpulan perbincangan, dan sebagainya.

Walaupun remaja, ibu bapa atau pendidik menjangka ia sekadar interaksi masa lapang di kalangan mereka, tumpuan harus difokus untuk mengeksploitasi laman web sosial sebagai platform terbaik bertukar pandangan secara ilmiah dan mendekatkan jurang perbezaan. Pelajar menggunakan laman web sosial untuk melihat foto diambil, berkongsi foto itu seterusnya menaip sebarang komen dalam kolum disediakan.

Mungkinkah ia hanya sekadar hiburan?

Laman web sosial memiliki pelbagai aplikasi yang disangkakan berfungsi sebagai hiburan semata-mata tapi jika digunakan secara bijak, dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar sekolah atau peringkat IPT. Aplikasi yang disorotkan berupaya diselaraskan dengan pembelajaran malah membentuk satu jaringan baru di antara pelajar dan cikgu dalam bentuk komunikasi digital.

Contohnya, sebaik tamat persekolahan, pelajar akan pulang ke rumah dan membuka laman sosial ini membolehkan cikgu menghantar nota ringkas melalui aplikasi Notes di Facebook untuk dikongsi kepada jaringan pelajar dalam kelasnya. Pelajar pula boleh terus membincangkannya topik terbabit atau berbincang dengan rakan sekolah yang lain.

Subjek memerlukan penggunaan visual misalnya mampu dimanfaatkan melalui laman web sosial yang memiliki aplikasi perkongsian foto seperti Sains atau Geografi. Cikgu yang mengajar subjek itu boleh memindah turun beberapa foto haiwan untuk pelajar mengkaji habitat dan meminta memindah turun foto haiwan yang memiliki sifat sama seperti imej dilampirkan cikgu tadi.

Pembelajaran sebegini boleh digunakan sebagai kaedah terbaru dalam pendidikan menggunakan inovasi sedia ada sekali gus membangunkan keterbukaan minda pelajar dan cikgu. Paling tidak pun, pelajar tidak lagi malu untuk berinteraksi dengan cikgu selain mewujudkan komunikasi mantap demi kebaikan dalam pendidikan era moden.

Pengarah Pendidikan Microsoft Malaysia, Farad Alhusaini, berkata langkah menggunakan laman web sosial amat bijak dalam membantu sektor pendidikan.

“Penggunaan laman web sosial bukan sekadar untuk berhibur atau berjumpa rakan malah ia mampu dimanfaatkan dengan menggunakannya secara bijak bagi membantu meningkatkan pengetahuan selepas waktu persekolahan,” katanya.

Beliau memaklumkan, sektor komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) mempunyai banyak ruang bagi pendidik menghasilkan kaedah baru dalam pembelajaran.

“Dulu medium antara cikgu dan pelajar hanya papan hitam dan terhad ketika berada di sekolah namun kini interaksi itu akan diteruskan selepas tamat waktu persekolahan,” kata Farad.

Tambahnya, pendedahan kepada dunia ICT memberi impak baik dalam meningkatkan pemahaman pelajar serta membantu mereka mewujudkan perasaan ingin tahu secara terperinci.

“Saya pernah berjumpa dengan cikgu yang memanfaatkan laman web sosial untuk berinteraksi dengan pelajar dalam membantu mereka menuntut ilmu dan apa yang menarik ia berlaku di sekolah luar bandar,” jelasnya.

Faedah ini bukan saja digunakan dalam konteks pelajar-cikgu-pelajar namun antara cikgu dengan cikgu juga, yang mana mereka perlu mempelajari ICT agar tidak lari dari kemajuan pelajar masa kini. Komuniti cikgu boleh dibentuk untuk bertukar idea dalam memberikan sistem penyampaian pendidikan berkesan kepada pelajar yang menggabungkan pendidik seluruh Malaysia atau dunia.

Ruangan buletin di Friendster contohnya mampu dijadikan platform kepada cikgu sebagai papan kenyataan dalam membincangkan hal ehwal pelajar seperti perbincangan topik pengajaran. Sementara itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan menggesa industri ICT membantu dalam memberi penerangan terutama dalam perkembangan laman web sosial yang semakin mendapat sambutan.

“Pelajar perlu dididik menggunakan ICT sebaik mungkin demi manfaat mereka termasuk penggunaan laman web sosial dan penggiat ICT perlu melakukan kerja sosial dalam memberikan pendedahan positif kepada mereka,” katanya.

Menurut Mohd Ali, pihaknya sentiasa menyokong perkembangan teknologi yang mampu memberi manfaat kepada pelajar dalam meningkatkan pembudayaan ICT dalam pendidikan.

“Saya mencadangkan mana-mana industri ICT mengambil pelajar atau sekolah angkat dan membantu mereka memahami teknologi seperti laman web sosial dengan lebih baik,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, penyalahgunaan ICT berlaku kerana pelajar hanya didedahkan dengan dunia hiburan tanpa pengawasan pihak lain menyebabkan penggunaannya amat terhad.

“Banyak yang boleh dilakukan melalui ICT apatah lagi ia mampu memajukan sektor pendidikan secara bersepadu jika dimanfaatkan sebaik mungkin seperti laman web sosial ini,” kata Mohd Ali.

Selain itu, beliau turut menyarankan pendidik mempelajari ilmu ICT terutama berkaitan remaja agar dapat mendekatkan diri dengan golongan terbabit.

About the Author

Artikel Diambil Dari Harian Metro


Rating: Not yet rated

Comments

No comments posted.

Add Comment

You do not have permission to comment. If you log in, you may be able to comment.