Lazatnya menu Bagan Lalang
View PDF | Print View
by: ikram84
Total views: 178
Word Count: 884
Bagaimanapun, perasaan ingin tahu yang membuak-buak membawa kami ke
daerah yang mendapat limpahan ekonomi kesan pembinaan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada akhir dekad 90-an, malam minggu
lalu.
Dari ibu kota, kami mengambil jalan singkat ke Litar Formula Satu Sepang, melintasi beberapa ladang kelapa sawit, sebelum dua kali membelok untuk mencari jalan ke pekan Sungai Pelek. Pantai terbabit berdekatan dengan pekan yang popular dengan produk kuih tradisional Jawa.
Nama saja Sungai Pelek, tetapi jangan terkejut sekiranya anda
tidak menemui sungai di sini. Menurut cerita masyarakat setempat, pekan
ini mendapat nama daripada sungai yang tidak mempunyai hulu atau muara.
Sungai ini terbentuk apabila air laut melimpahi kawasan cetek terus ke
pekan ini. Suatu ketika dulu, ia pernah digunakan nelayan untuk
berulang alik ke tengah pekan, selepas seharian menyabung nasib di laut.
Pantai Bagan Lalang hanya kira-kira empat kilometer dari kawasan ini.
Memandangkan memandu pada waktu malam agak sukar mencari jalan masuk ke
Seri Malaysia Bagan Lalang yang menaja penginapan kami.
Selesai
urusan daftar masuk, kami tidak bertangguh mencari tempat makan untuk
mengisi perut yang sudah berkeroncong. Menariknya, hotel ini terletak
berhampiran kawasan pantai memudahkan tetamu mencari tempat makan.
Selepas beberapa kali berlegar, kami singgah di restoran makanan laut
Wak. Mengenangkan ini kunjungan pertama, kami memesan hampir semua
jenis makanan laut atas alasan mahu mencuba.
Ini termasuk
menu wajib seperti ketam masak cili, sotong goreng tepung, udang
harimau masak sambal hingga ke pesanan istimewa seperti ikan pari bakar
dan siakap tiga rasa.
Apabila pesanan sampai, separuh pinggan
lauk saja sudah memenuhi meja. Ini belum dikira dengan lala, kepah
masam manis dan sambal udang yang baru dipesan. Dalam sibuk melantak,
terfikir juga berapa agaknya jumlah makan malam yang dihadap malam itu.
Dari segi masakan, ia agak sama dengan apa yang didapati di restoran
makanan laut di ibu kota. Namun, hidangan ala kampung disajikan tidak
terlalu berat, menjadikannya sesuai untuk mereka yang gemar makanan
terlalu manis, pedas atau masin.
Restoran Wak yang kami singgah
ini mula menjadi tumpuan apabila hampir tengah malam. Pengunjungnya
terdiri daripada pelbagai bangsa. Menurut pekerjanya, ada yang datang
dari Shah Alam dan Seremban hanya untuk menikmati makanan laut Bagan
Lalang.
Perkampungan nelayan di daerah ini memberikan hasil
laut yang sungguh segar. Bagaimanapun, semua ini tidak dapat menandingi
harganya yang jauh lebih murah berbanding tempat lain. Hampir 10 macam
lauk ditambah jus buah, kami hanya membayar kira-kira RM80 atau hanya
RM20 seorang.
Bayangkan, jika ke restoran makanan laut di ibu kota.
“Mahunya kena RM200,” kata seorang teman yang selalu membuat tugasan
mengenai makanan. Pulang ke hotel, semua masuk tidur awal gara-gara
terlampau kenyang.
Keesokannya, selepas bersantai di pekarangan
hotel, kami bertolak ke pantai Bagan Lalang. Sungguhpun bukan tandingan
Port Dickson atau Morib, ia jauh lebih tenang kerana kurang sesak
walaupun hujung minggu.
Apa yang kelihatan hanya deretan pokok
ru menjadi objek utama yang boleh dilihat di sepanjang lima kilometer
pantai. Bagaimanapun, ia tidak menghalang kunjungan orang ramai untuk
menghabiskan percutian hujung minggu.
Di celah rimbunan pokok,
ada satu khemah besar menempatkan keluarga yang sedang mengadakan
perhimpunan tahunan. Menurut ahli keluarga, pantai itu dipilih sebagai
lokasi pertemuan berikutan kawasan yang tenang.
Apa yang boleh
dilihat, kebanyakan pengunjung lebih gemar mendirikan khemah dan
memasak sendiri bahan yang dibawa dari rumah. Asap dari dapur kecil dan
pakaian yang bersidai ada kalanya kelihatan seperti khemah pelarian.
Keadaan itu bagaimanapun tidak menghalang kanak-kanak bermain
layang-layang atau sekadar bergelumang dengan selut untuk membina
istana pasir. Ada kalanya terdengar kemeriahan mereka mencari penjaja
ais krim.
Jika perut terasa lapar, pengunjung boleh berjalan
kaki ke deretan restoran berdekatan untuk menikmati makanan laut. Mahu
lebih santai, gerai pisang goreng dan warung teh tarik boleh dijadikan
tempat melepak sambil melayan udara petang.
Sedang
bersiar-siar, kami terserempak jurugambar profesional yang sibuk
mengangkat kamera untuk merakamkan aksi burung. Ini berikutan hutan
bakau di situ menjadi habitat kepada pelbagai burung penghijrah.
Sambil meninjau kawasan pembinaan Sepang Gold Coast, kami melepasi
deretan kedai menjual layang-layang dan pelampung. Pelbagai bentuk dan
warna dijual amat sesuai digunakan untuk kanak-kanak.
Dalam
perjalanan pulang, kami singgah di House of Kerepek, galeri seni yang
mempamerkan hasil kerja pelukis tempatan. Gerai sama turut menjual
pelbagai makanan tradisi buatan masyarakat setempat.
Sambil
menjamu mata dengan karya seni bekas pensyarah Universiti Teknologi
Mara (UiTM) itu, kami memborong pelbagai jenis kerepek istimewa yang
dijual. Wajib beli di sini termasuk kerepek pisang dengan serbuk lada
hitam, kerepek bawang dan cakar ayam.
PENGINAPAN
Seri
Malaysia Bagan Lalang menawarkan penginapan dengan kemudahan rekreasi,
dewan jamuan dan bilik mesyuarat (03-31412918). Bagan Villa Resort
(03-31412200). Untuk lebih bajet, pengunjung boleh mendirikan khemah
untuk bermalam di pantai.
TARIKAN LAIN
Homestay
Banghuris menggabungkan tiga kampung iaitu Kampung Bukit Bangkong,
Kampung Ulu Chuchuh dan Kampung Ulu Tris, dekat Sepang adalah program
homestay paling berjaya di Selangor.
Peserta didedahkan dengan
cara hidup masyarakat kampung termasuk melawat dusun buah-buahan serta
melihat penghasilan serbuk kopi, kerepek ubi dan makanan popular Jawa,
tempe.
Pengunjung berpeluang menyusuri anak Sungai Sepang Kecil
ke pantai Bagan Lalang sejauh lapan kilometer sambil menikmati
keindahan flora dan fauna. Untuk keterangan lanjut, hubungi 03-77269173
atau 017-8880069.
UNTUK KE SINI
Bagan Lalang
terletak 45 minit dari Putrajaya atau sejam 15 minit dari Kuala Lumpur.
Paling mudah, ikuti papan tanda ke KLIA menghala ke Sepang. Anda akan
melalui jalan kampung dengan pemandangan ladang kepala sawit menuju ke
bandar Sepang. Ambil kanan di persimpangan dan ikuti papan tanda ke
Sungai Pelek atau Bagan Lalang.
About the Author
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
Di ambil dari Harian Metro
Rating: Not yet rated
