Pembentukan Peribadi Diri Melalui Ilmu Beladiri

        Pada zaman dahulu , mempelajari ilmu beladiri merupakan suatu kewajipan bagi setiap individu kerana ia merupakan pakaian diri. Semakin tinggi ilmunya , maka semakin masyhurlah namanya , ditambah lagi jika individu tersebut berkhidmat dengan pembesar-pembesar negeri.

       Kini mempelajari ilmu beladiri lebih kepada mengisi masa lapang (hobi) dan sebagai salah satu acara sukan. Ini sedikit sebanyak telah merendahkan darjat ilmu beladiri dan memperlahan perkembangan ilmu ini. Sedarkah anda bahawa mempelajari ilmu beladiri dapat membantu individu membentuk keperibadian diri.

       Secara umumnya semua manusia mempunyai struktur badan yang sama tidak kira apa saiz tubuh. Yang berbeza adalah minda, ilmu, iman dan keperibadian diri.

      Setelah bertahun-tahun terlibat sebagai tenaga pengajar ilmu beladiri, saya dapati  kaedah latihan ilmu beladiri dapat membentuk keperibadian diri. Saya akan bawa anda kepada situasi latihan di kelas beladiri.

      Setiap pelajar akan hadir ke kelas pada hari dan masa yang ditetapkan. Pelajar dikehendaki memakai unifom untuk menampakkan keseragaman dan kesatuan. Sebelum kelas dimulakan pelajar mesti memberi hormat kepada guru (hormat perguruan) dan bertafakur (doa dalam silat). Samada kita sedar atau tidak, unsur menepati masa, mematuhi peraturan, menghormati orang yang lebih tua (senior) dan kepercayaan kepada Tuhan telah diterapkan.

      Kelas diteruskan dengan aktiviti memanaskan badan dan regangan. Aktiviti ini biasanya dijalankan oleh pelajar "senior". Arahan diberi dan semua pelajar melakukan aktiviti mengikut kemampuan sendiri. Secara tidak langsung sifat kepimpinan dan keyakinan diri telah disuntik ke dalam diri pelajar.

     Jurulatih atau "instructor" memulakan kelas dengan kemahiran asas seperti menendang. menumbuk, menepis dan mengelak. Dalam barisan yang lurus, semua pelajar melakukan perbuatan yang sama secara serentak dan berulang kali. Sekiranya ada pelajar yang tersilap atau tidak mematuhi arahan, pasti dia akan terkena tendangan atau tumbukan. Pelajar yang lemah akan dibimbing dan terpaksa melakukan aktiviti tersebut berulang kali. Ciri-ciri positifnya adalah mematuhi arahan, bekerjasama, gigih berusaha dan membantu orang yang memerlukan bantuan.

    Sesi seterusnya adalah latihan berpasangan atau berkumpulan. Semasa aktiviti dibuat, pasti ada ketua kumpulan yang memberi arahan dan ahli lain perlu mematuhinya. Jika melakukan "kata, pattern, tae guk atau tari" semuanya mesti serentak dan tepat. Di sinilah sikap kerjasama, toleransi, menghormati pendapat dan bakat individu, serta semangat kekitaan dipupuk. Semasa latihan tempur bebas (free sparring), pasti akan ada yang tersasar, lebam atau bengkak. Sifat memaafkan kesilapan orang lain, semangat kesukanan, sentiasa bersedia (alert) dan fokus amat diperlukan. Sikap dendam perlu dihapuskan kerana ia akan mengganggu tumpuan dan tidak membawa manafaat.

   Latihan diteruskan dengan pelbagai aktiviti, di mana setiap individu bebas mempamerkan bakat dan melepaskan perasaan selagi mana ia tidak melanggar peraturan.

   Berdasarkan penerangan di atas , jelas menunjukkan bahawa ilmu beladiri mampu membentuk peribadi yang baik kepada individu. Jika ada yang songsang, mungkin niatnya juga tidak betul. Oleh itu , sokongan anda amat diperlukan dalam menghidupkan ilmu beladiri. Bersikap positif.

Anda boleh mendapatkan tips serta kaedah beladiri yang mudah dengan melayari www.smartsilat.com .

 

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments yet.

Leave a Comment