Menghindari Jenayah Seksual
View PDF | Print View
by: ikram84
Total views: 122
Word Count: 918
Didik kanak-kanak kenal bahaya
SUKAR mengikis
pandangan serong masyarakat terhadap kepentingan pendidikan seks kepada
golongan muda biarpun senario dunia hari ini memerlukan pendekatan itu.
Dibelenggu sikap tabu, menyebabkan sebahagian besar golongan muda mudah hanyut atau menjadi mangsa kejam penjenayah.
Biarpun isu ini diakui sensitif dan sukar diterima masyarakat dengan
alasan melanggar norma budaya, kepentingannya wajar dilihat dalam
pelbagai aspek. Antaranya, daripada aspek keselamatan, kepentingan awam
dan pembelajaran ilmu.
Bagaimanapun, kewajaran mengajar
pendidikan seks di sekolah harus ditangani dengan baik mengikut lunas
masyarakat, agama dan menekankan aspek sensitiviti budaya agar tidak
menimbulkan prejudis.
Pengerusi Majlis Guru Bimbingan Kuala
Lumpur, Meon Hassan, berkata pengenalan pendidikan seks wajar
ditekankan kepada pelajar supaya mereka tahu tahap batas pergaulan
dengan rakan sebaya dan yang berlawanan jantina.
Bagaimanapun,
pembelajaran itu harus dilakukan dengan aspek betul tanpa menimbulkan
tanggapan ‘lain’ di kalangan pelajar sekali gus tidak memburukkan lagi
keadaan.
“Dalam senario dunia hari ini, saya kira pendidikan
itu wajar ditekankan supaya pelajar tahu apa yang boleh dan tidak boleh
dilakukan orang lain terhadap diri mereka.
“Bagaimanapun, skop
pembelajaran perlu dilakukan secara sopan supaya pelajar tahu mereka
sebenarnya sedang belajar bukan untuk tujuan lain.
“Guru pula
disarankan lebih terbuka menjawab persoalan pelajar kerana maklumat
betul akan membantu pelajar menangani perubahan diri dan fizikal serta
pelbagai persoalan baru yang mungkin timbul,” katanya.
Walaupun pendidikan seks masih belum ditekankan secara meluas, pada
2005 Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif merangka draf Garis
Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan bagi membimbing golongan muda
mengenai pendidikan seksual.
Draf berkenaan mengandungi enam
teras meliputi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan
kekeluargaan, kemahiran diri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta
masyarakat dan budaya.
Golongan sasaran adalah pelajar
prasekolah seawal usia empat hingga enam tahun, pelajar berusia tujuh
hingga sembilan tahun yang dikategorikan sebagai Tahap 2, awal remaja
10 hingga 12 tahun (Tahap 3), remaja 13 hingga 18 tahun (Tahap 4) dan
19 tahun ke atas meliputi mahasiswa, ibu bapa serta warga emas (Tahap
5).
Bagaimanapun, pendidikan seksualiti tidak akan menjadi satu
mata pelajaran khusus tetapi pengisiannya dimasukkan dalam subjek lain
seperti Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Moral, Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris.
Selepas lima tahun, draf berkenaan akan
diperbaharui dalam aspek kurikulum, mempertingkat kemudahan di sekolah
dan mengemaskini latihan guru. Tindakan untuk menjadikannya sebagai
subjek khas juga akan dipertimbangkan.
Mengaitkannya dengan
keperluan masa kini, Meon berkata, penekanan sedia ada memang
bermanfaat namun perlu dipertingkatkan supaya pelajar lebih memahami
dan tidak hanya memperoleh informasi asas semata-mata.
“Sekarang ini tiada penekanan khusus melainkan dalam beberapa subjek
tertentu. Itupun dilaksanakan atas inisiatif guru sendiri dan
penerangannya secara asas.
“Dalam keadaan itu, saya percaya
pelajar sukar mendapat maklumat jelas dan lengkap sekali gus
menyebabkan mereka cuba mencari daripada sumber lain.
“Keadaan
ini lebih berbahaya kerana mereka mungkin memperoleh maklumat salah.
Bukankah lebih elok kalau mereka memperolehnya daripada guru dengan
penerangan lebih terang dan jelas kerana ada lebih penekanan,” kata
Meon.
Bagaimanapun, kebanyakan budaya masyarakat dunia sukar
menerima mengenai pendidikan seksualiti sekali gus boleh menyekat
perkembangan maklumat kepada golongan muda.
India misalnya
mengharamkan pendidikan seks di sekolah dengan alasan bertentangan
dengan budaya masyarakat negara itu sekali gus menjadikan beberapa
negerinya mempunyai statistik teratas HIV/ Aids di dunia.
Dalam
pada itu, penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, berpendapat cara
paling berkesan untuk mengelakkan diri menjadi mangsa ialah dengan
mendidik kanak-kanak dari peringkat awal.
“Menjadi
tanggungjawab utama ibu bapa mendidik anak-anak supaya dapat menjauhi
situasi yang boleh menyebabkan mereka terjerumus seterusnya menjadi
mangsa jenayah seksual.
“Ibu bapa perlu peka mengenai
pendidikan seks agar mereka boleh memberi penerangan kepada anak-anak
kerana tanggapan pendidikan seks perkara yang memalukan, perlu diubah.
“Kanak-kanak perlu didedahkan soal jenayah seksual kerana ini
membabitkan masa depan mereka. Berterus teranglah kerana ibu bapa
individu paling hampir dan sesuai mendekati anak mereka,” katanya.
Mengenai kesukaran ibu bapa memberi pendidikan awal mengenai seks
kepada anak dengan pelbagai alasan, Meon berkata ibu bapa sebenarnya
golongan terbaik memikul tanggungjawab itu.
“Masalahnya,
sebahagian besar masyarakat atau ibu bapa tidak bersikap terbuka
apabila ada anak bertanya menyebabkan persoalan itu tergantung.
“Apabila tidak mendapat jawapan, anak mungkin tidak berpuas hati dan menganggap tindakan itu betul sedangkan ia salah.
“Apabila ini berlaku, siapakah harus dipersalahkan? Ibu bapa atau
masyarakat akan menuding jari kepada guru, sekali gus lebih merumitkan
keadaan,” katanya sambil menambah penyelesaian boleh dilaksanakan bukan
dengan cara pertelingkahan tetapi kerana tanggungjawab.
“Dalam
hal ini, saya berpendapat bukan guru saja memainkan peranan penting
tapi semua pihak. Jangan lepaskan tanggungjawab kepada sesuatu pihak
sehaja.
“Pengenalan terhadap pendidikan seks juga boleh
membantu asalkan dilakukan dengan betul dan bagi mendidik selain
membuat pemantauan terhadap penggunaan media massa dan Internet.
“Pada pendapat saya, ia tidak salah selain masyarakat juga lebih bersikap terbuka demi kebaikan bersama,” katanya.
Guru di Johor, Suspa Abdul Hamid, berkata usaha memperkenalkan
pendidikan seks perlu relevan dengan kehendak perkembangan golongan
muda hari ini.
Menurutnya, walaupun dinamakan pendidikan seks,
tidak seharusnya ia diisi dengan perkara luar batasan tetapi lebih
terarah kepada keperluan informasi seperti menyediakan asas kepada
golongan muda mengenai perhubungan lelaki dan wanita, perubahan bentuk
badan, emosi, sistem reproduktif, hubungan seks, kehamilan, cegah
hamil, pengguguran dan penyakit kelamin.
“Pada pendapat saya,
pelajar hari ini perlu tahu mengenai pendidikan seks tapi cara
pembelajarannya perlu berlapik, atas fakta pembelajaran dan ilmu. Ia
bukan untuk suka-suka tapi soal pendidikan.
“Generasi hari ini
tidak seperti dulu, sikap mereka sangat terbuka dan sukar dijangka.
Bayangkan kalau tidak ada mekanisme diambil bagi membantu mereka, apa
bakal berlaku dalam kelompok sosial golongan ini?
“Semua pihak
harus bersikap terbuka dan membantu golongan muda ini mengharungi
cetusan emosi dan rasa ingin tahu mereka. Biar caranya tampak janggal
asalkan maklumatnya bermanfaat,” katanya.
About the Author
Oleh Ruhaiza Rusmin
Di ambil di Harian Metro
Rating: Not yet rated
